Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang
ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun
dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)
BETAPA kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah
seseorang, iaitu dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali, andainya
manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai
mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah
makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu
manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat
Izrail.
Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu
bersenang riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada
masalah yang perlu difikir dan direnungkan dalam hidupnya.
Walaupun dia sebenarnya adalah seorang yang miskin amal
kebajikan serta tidak memiliki sebarang bekalan untuk
akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin
Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka
bumi ini 70 kali dalam sehari.Ketika Izrail datang merenung
wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak
ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat
orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk
mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok
bergelak ketawa."
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati
oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa
mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar
terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa
meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai
perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan
hubungannya dengan malaikat maut.
Meskipun mata manusia hanya mampu melihat alam benda yang
nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran malaikat maut
itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib, iaitu
memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.
Sebenarnya manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup
pasti akan mati, tetapi manusia menilai kematian dengan
berbagai tanggapan. Ada yang menganggap kematian itu adalah
suatu tabi'e biasa sebagai pendapat golongan atheis, dan tidak
kurang pula orang yang mengaitkan kematian itu dengan
sebab-sebabnya yang zahir sahaja. Dia mengambil logik bahawa
banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi, seperti
diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti gempa bumi,
banjir, kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut
dan daratan termasuk kemalangan jalan raya.
Selain itu mereka juga melihat kematian disebabkan oleh
serangan penyakit yang merbahaya seperti penyakit barah, sakit
jantung, AIDS, demam denggi, ta'un dan sebagainya. Disebabkan
manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yamg
lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan
kejadian-kejadian yang disebut di atas. Jika berlaku kematian
di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, "sebab apa si
pulan itu mati, sakitkah atau kemalangankah?".
Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan
kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal
seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa
berlegar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan
orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.
Sesungguhnya malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan
tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh
orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan
dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang
ketika berlaku kemalangan, atau ketika diserang sakit tenat,
maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.
Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun
orang-orang mewah yang sedang hidup rehat dibuai kesenangan.
Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira orang
itu sedang ketawa riang, atau mengerang kesakitan. Bila ajal
mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak tertangguh walau
sesaat.
Walau bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai
sebab bagi sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah
disebaliknya. Misalnya sakit tenat yang ditanggung
berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan menjadi rahmat bagi
orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi peluang
dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk itu dia
menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu,
membetulkan dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta
memperbaiki amalan, serta menambah bekalan untuk akhirat,
jangan sampai menjadi seorang yang muflis di akhirat kelak.
Begitu juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia
akan menjadi pengajaran dan memberi peringatan kepada orang
yang masih hidup supaya mereka sentiasa waspada dan tidak
lalai dari berusaha memperbaiki diri, menambah amal kebajikan
dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana sekiranya ajal
datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang tidak
berguna.
Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang
ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah
SWT masih menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi
pandangan orang-orang soleh itu jika Allah SWT mengambil roh
dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran terlebih dahulu.
Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya, sebab
itulah Allah SWT tidak beri amaran terlebih dahulu kepadanya.
Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya
bahaya di hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu
nescaya dia akan menjerumus ke lembah bahaya itu.
Selain itu Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu
bagi memenuhi janjiNya kepada malaikat maut, sebagaimana
diriwayatkan oleh Saidina Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi
yang panjang. Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa
kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh
makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu
termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah,
iaitu para rasul a.s.w., para nabi-nabi, para wali-wali dan
orang-orang solihin.
Selain itu malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya
tidak disenangi oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh
kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang akan
menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak
keluarga dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.
Diriwayatkan bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan
berbagai sebab-sebab kepada kematian yang akan dilalui oleh
keturunan Adam. Sehingga keturunan Adam itu akan memikirkan
dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang dialami
oleh mereka. Apabila berlaku kematian, mereka akan berkata
bahawa si anu itu mati kerana menghidap sakit, ataupun kerana
mendapat kemalangan, mereka akan terlupa mengaitkan malaikat
maut dengan kematian yang berlaku itu.
Ketika itu Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak
mengaitkan kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut,
yang sememangnya diutus oleh Allah SWT pada saat malapetaka
atau sakit tenat seseorang itu bertepatan dengan ajal mereka
yang sememangnya telah tiba.
Namun pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah,
yang telah termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di
dalam takdir Allah, bahawa kematian pasti tiba pada saat yang
ditetapkan. Izrail hanyalah tentera Allah yang menjalankan
tugas seperti yang telah diamanahkan kepadanya.
Walau bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk
menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau
tidak, sebagaimana yang dinyatakan pada awal tulisan ini,
bahawa ada ketikanya malaikat maut datang hendak mencabut roh
seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang
dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut
merasa hairan terhadap manusia itu. Ini membuktikan bahawa
kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada seseorang yang
sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar.
No comments:
Post a Comment