Betapa janggalnya jika kita mengaku sebagai umat Muhammad, menyedari betapa hebatnya manusia agung ini, mengetahui bahawa dia semulia-mulia manusia yang dijadikan Allah serta melalui kerasulannyalah kita semua dapat menikmati agama Islam yang dapat menyelamatkan kita dari azab api neraka, tidak pula mengetahui tentang sejarah hidup dan perjuangan baginda dalam usaha menegakkan keIslaman ke seluruh dunia. Betapa ramainya manusia yang bersikap seperti 'kacang lupakan kulit'.
Setelah menikmati kemewahan dan kesenangan hidup di dunia melalui syafaat dan kebesaran Junjungan Besar Muhammad saw, lantas tidak mempedulikan manusia agung yang bukan saja dipandang tinggi oleh makhluk bumi malahan segala malaikat di langit. Justeru itu, dalam ruang yang terbatas ini, dipaparkan sekelumit sejarah Baginda untuk sama-sama kita ketahui latarbelakang manusia yang diangkat Allah sebagai RasulNya yang terakhir serta menjadi suri teladan kepada manusia sejagat, membentuk tauhid dan iman, menyampaikan risalah Al-Quran dan dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak kemanusiaan terpuji.
Nabi Muhammad saw dilahirkan pada 12 Rabiul-Awal, bersamaan 20 April 571M. Ayahanda baginda bernama Abdullah bin Abdul Mutalib dan bondanya Aminah bt. Wahab. Ayahanda nabi telah meninggal dunia semasa baginda di dalam rahim ibunya. Semasa dilahirkan, bumi Mekah dan seluruh dunia mengalami satu keadaan yang sungguh syahdu menyambut kelahiran penyudah segala nabi yang akan menyinari seluruh alam ini. Banyak perkara ganjil dan luarbiasa berlaku bertepatan saat-saat keputeraan baginda. Tiga hari baginda disusukan oleh ibunya, selepas itu diserahkan kepada Tsuwaibah dan kemudian kepada ibu susuannya Halimatus Sa'adiah. Baginda tinggal dengan Halimah selama 4 tahun di luar kota Mekah.
Selepas itu dengan perasaan yang amat berat, Halimah menyerahkan semula baginda kepada bonda nabi, di bawah kawalan datuknya Abdul Muthalib. Semasa berusia 6 tahun ibu nabi wafat. Nabi menjadi yatim piatu semasa baginda amat memerlukan kasih sayang seorang ibu. Nabi dipelihara oleh datuknya Abdul Muthalib hanya selama 2 tahun. Selepas kematian datuk kesayangan Nabi, baginda dipelihara pula oleh ayah saudaranya Abu Thalib. Nabi bekerja sebagai gembala kambing untuk membantu bapa saudaranya menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Ketika berusia 12 tahun, Abu Thalib membawa Nabi ke negeri Syam (Palestine) untuk
berniaga. Dalam perjalanan inilah, baginda telah bertemu dengan seorang pendita Nasrani yang memberitahu Abu Thalib tentang tanda-tanda kenabian yang ada pada baginda. Pendita itu berpesan supaya memelihara baginda dengan baik. Baginda kemudian bekerja dengan Khadijah bt Khuwailid untuk membawa barang-barang dagangan ke negeri Syam. Khadijah sangat gembira kerana memperolehi keuntungan yang banyak sejak baginda bekerja dengannya.
Ketika baginda berusia 25 tahun, baginda kemudiannya berkahwin dengan Khadijah yang ketika itu berumur 40 tahun. Sepanjang perkongsian mereka, Khadijah dapat memperhatikan keistimewaan baginda yang bakal menjadi pemimpin agung. Semasa berumur 40 tahun, baginda diutus menjadi Rasul Allah. Ketika itu masyarakat Arab dikatakan hidup dalam zaman jahiliyyah - satu era yang penuh kegelapan, kejahilan, kerakusan dan keganasan. Pelbagai maksiat berlaku secara berleluasa seolah-olah kosong dari bimbingan agama. Sebaik saja dilantik menjadi Rasul, baginda tidak pernah duduk diam, bahkan berusaha siang dan malam menyeru kaumnya mentauhidkan Allah swt. walaupun dibenci dan dimusuhi oleh kaum musyrikin Mekah.
Tentangan yang diterimanya tidak melunturkan semangat, bahkan dihadapinya dengan sabar, tawakal dan redha di atas ketentuan Allah. Pengikut-pengikut Nabi kian bertambah hari demi hari dan ini menjadikan baginda kian dibenci oleh musuh-musuh Islam. Mereka mula bertindak liar mengugut dan menyeksa pengikut-pengikut Nabi. Apabila taktik itu tidak berjaya, mereka cuba memujuk Nabi menghentikan usaha dakwah dengan menjanjikan harta yang banyak; namun semuanya gagal. Ketika penentangan kian memuncak, pengikut- pengikut nabi ada yang berhijrah ke Habsyah (Ethiopia).
Dalam keadaan yang amat genting ini, Abu Thalib dan Siti Khadijah kembali menemui Allah. Nabi dirundung malang dan merasakan kekosongan yang amat sangat. Semasa mengalami tekanan fizikal dan mental yang serius, Allah menjemput Nabi melalui Malaikat Jibril untuk satu perjalanan yang amat bersejarah iaitu Israk dan Mikraj. Sepanjang perjalanan dari Mekah ke Baitul Maqdis (Israk) dan dari Baitul Maqdis ke Sidratul-Muntaha (Mikraj), Nabi dipertemukan dengan pelbagai keadaan bagi memperlihatkan kekuasaan dan kebesaran Allah. Perjalanan ini dapat memulihkan semangat juang Nabi di samping menambah keyakinan tentang kebesaran Allah. Ancaman ke atas Nabi semakin hebat sehingga mereka telah merancang membunuh baginda.
Semasa berusia 53 tahun (13 tahun selepas kerasulan), Allah memerintahkan Nabi berhijrah ke Madinah. Dari saat ini bermulalah kalendar Islam Hijrah. Ia berlaku pada 12 Rabiul-Awal bertepatan 28 Jun 622M. Baginda disambut oleh orang Ansar di Madinah dengan layanan yang sangat mesra. Di Madinah, Islam telah berkembang dengan amat pesat. Di sinilah tertegaknya masyarakat Islam dan negara Islam pertama di mukabumi. Tertegaknya negara Islam di Madinah membolehkan Nabi menubuhkan angkatan perang yang kuat dan ditakuti musuh.
Usaha dakwah gigih dijalankan dengan disokong oleh kekuatan tentera menjadikan mereka mula disegani dan dihormati. Islam dapat berkembang ke merata tempat. Selepas 8 tahun berada di Madinah, baginda mengumpulkan angkatan tentera dan pada 10 Ramadhan 8H. tentera Islam bergerak untuk membebaskan Mekah dari belenggu Musyrikin. Pasukan Quraisy dengan mudah dikalahkan oleh tentera Islam yang diketuai oleh Khalid bin Walid. Baginda terus tawaf di Kaabah sebagai tanda kesyukuran terhadap Allah. Di sana semua penghuni Mekah dikumpulkan. Baginda dengan sifatnya yang pengampun memaafkan kaum yang dulunya memusuhi baginda. Sejak peristiwa itu tamatlah tentangan Kaum Quraisy terhadap Nabi.
Islam terus berkembang ke seluruh dunia. Mesej kerasulan Nabi saw. Telah dapat disampaikan kepada umat. Kesempurnaan tugas kerasulan ini jelas di dalam Al-Quran dan disaat inilah Nabi dipanggil untuk menghadap Allah swt. Sepuluh tahun berlalu selepas penghijrahan baginda ke Madinah, sampailah saat-saat yang paling menyedihkan para sahabat dan seluruh makhluk di muka bumi dan langit - saat perpisahan dengan Baginda saw. Semasa berusia 63 tahun baginda akhirnya wafat di Madinah iaitu pada 13 Rabiul Awal 11H bersamaan 8 Mei 633M. Tugas menegakkan keislaman selama 43 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah) telah sempurna.
Beberapa hari sebelum wafat, Nabi Muhammad sempat mengumpulkan para sahabat menerangkan baginda akan menemui Allah dan kemudiannya menyampaikan wasiat kepada mereka. Kota Madinah diselubungi kesedihan yang luar biasa ketika wafatnya manusia agung ini. Kerana kecintaan yang amat sangat terhadap baginda, ramai sahabat seolah-olah tidak mahu menerima hakikat kematian itu. Malah Saidina Umar sendiri menghunus pedang untuk membunuh sesiapa saja yang mengatakan Baginda telah wafat. Saidina Abu Bakar kemudian tampil meredakan keadaan dengan perasaan yang sangat terharu menyampaikan ucapan "Wahai manusia, sesiapa yang menyembah Muhammad, Muhammad kini sudah wafat. Tetapi barangsiapa menyembah Allah, Allah tidak mati." Mendengar kata Abu Bakar ini, baru Saidina Umar sedar dan menangis teresak-esak.
Selepas kewafatan Nabi saw. usaha dakwah diteruskan oleh para sahabat sehingga empayar Islam tersebar luas ke merata dunia termasuklah di negara kita. Walaupun Rasulullah saw sudah wafat meninggalkan kita dan kita tidak langsung berpeluang melihat baginda, kita masih dapat menikmati pusaka yang baginda tinggalkan iaitu Al-Quran dan Hadith. Sabda Nabi saw. "Aku tinggalkan pada kamu 2 perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada keduanya iaitu Al-Quran dan Hadith, sunnah rasulNya" Berkat kegigihan para sahabat dan para ulama, kini umat Muhammad sudah menjangkau 1000 juta orang. Alhamdulillah kita juga termasuk dalam umat Muhammad. Nabi Muhammad menggelar umat ini sebagai 'ikhwani' (saudaraku) dan memuji umat ini kerana mempunyai keimanan yang kental meskipun tak bersua muka dengan Baginda. Nabi Muhammad masih mengikuti perkembangan kita hari demi hari. Baginda akan suka jika umatnya berbahagia dan tidak melanggar ajarannya. Tapi baginda akan berasa amat sedih jika umatnya melanggar ajarannya dengan melakUkan maksiat.
Masyarakat kita kini dilanda krisis akidah yang amat berat. Tidakkah kita tahu bahawa malaikat setiap hari menyampaikan berita ini kepada Baginda? Apakah kita sanggup melihat Junjungan Besar kita berasa sedih kerana tindakan kita yang menentang Allah? Sanggupkah kita melihat Baginda bersedih akibat maksiat yang kita lakukan? Kenapakah kita seolah-olah tidak sensitif terhadap apa yang Baginda rasakan? Seharusnya kita membalas jasa baik Nabi dengan menyebarkan risalah keislaman kepada orang-orang kafir supaya mereka masuk Islam.
Tetapi apa yang berlaku.... sudahlah kita tidak mendakwah mereka, umat yang sedia Islamnya dari lahir lagi kita tidak mampu untuk mengekalkan keislamannya? Kita biarkan pula orang kafir laknatullah merampas status keislaman orang Islam. Di mana letaknya kesayangan kita terhadap Nabi kita? Mahukah kita menjadi manusia dayus, membiarkan orang lain memurtadkan umat Islam sendiri? Dapatkah kita membuat alasan di hadapan Allah kelak, bahawa negara kita tidak ada undang-undang yang diperuntukkan untuk isu murtad? Tidakkah kita tahu bahawa Allah telah menyediakan hukuman mati kepada mereka yang murtad jika tidak bertaubat.. Maka kenapa perkara hukum ini tidak dijelaskan dengan baik, malahan disembunyikan fakta ini. Mahukah kita dicap sebagai 'Islam di sisi manusia' tapi sebenarnya 'kafir di sisi Allah'. Dalam usaha hendak menarik populariti manusia maka kita tidak perasan sudah menjemput kemurkaan Allah. Adakah manusia akan menilai kita atau Allah yang akan menilai kita? Tepuklah dada dan ujilah keimanan..
Nabi Muhammad saw kini sudah wafat. Perjuangan ini perlu/mesti diteruskan. Jika kita lemah dan tidak berjuang, musuh Islam kini semakin galak memainkan peranan memurtadkan orang Islam sendiri. Berapa ramaikah orang Islam di Malaysia ini sudah mengabaikan agama mereka. Kalau tidak pun, tahukah kita berapa peratus yang sudah meninggalkan sembahyang kerana memburu wang ringgit. Cubalah buat bancian statistik peratus yang dah tinggalkan agama atau yang tak solat?
Kita dok fikirkan yang remeh sedangkan perkara ini lebih patut diutamakan. Kita menyangkakan usaha lain lebih penting, rupanya itulah yang remeh di sisi Allah. Meskipun baginda sudah tinggalkan kita 1367 tahun yang lalu, namun keperihatinan baginda masih seperti dulu. Sama-samalah kita berganding bahu dengan Nabi memperjuangkan satu perjuangan yang tak akan habis selagi belum kiamat. Buatlah sesuatu yang boleh menyukakan hati Nabi. Jauhkan dari melukakan hatinya. Anggaplah seolah-olah Nabi masih ada di muka bumi ini. Janganlah kita terlalu lokek menghadiahkan selawat ke atas Junjungan saw. Meskipun baginda sudah tiada di bumi ini namun baginda akan mendoakan mereka yang berselawat ke atasnya.
Pada Nabi Muhammad saw. ada contoh teladan. Oleh itu contohilah baginda dalam semua aspek kehidupan, sebagai pemimpin, sebagai bapa, sebagai ketua tentera, sebagai suami malahan sebagai manusia biasa. Baginda mempunyai ciri-ciri kemanusiaan yang unggul, berketrampilan dan sesuai sebagai seorang rasul yang terutama. Kenapa mencari tokoh-tokoh lain untuk diteladani sedangkan kita ada manusia yang paling unggul di dunia mahupun di akhirat iaitu Nabi Muhammad saw.?
Semoga kita mengenali diri baginda lebih dari kita mengenali diri ibu bapa kita sendiri. Semoga kita diakui oleh Nabi saw sebagai umatnya di akhirat nanti dan berbahagialah mereka yang mendapat syafaatnya pada hari pembalasan kelak.. Berdoalah semoga kita salah seorang daripada yang berbahagia itu.. Amin..
kredit : my email
No comments:
Post a Comment